Header Ads

Alibaba, Amazon contoh terbaik dunia digital

Hampir semua keperluan harian kini dapat dipenuhi melalui telefon bimbit pintar, pemasaran barang dan perkhidmatan melalui laman e-Dagang.Iklan secara digital berkembang rancak semakin mengancam promosi berbentuk cetakan dan berciri fizikal.
KUALA KANGSAR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini bertitah kehebatan syarikat e-dagang Alibaba dari China dan Amazon dari Amerika Syarikat merupakan contoh terbaik peranan internet terhadap dunia ekonomi digital.

Baginda bertitah semasa mula diperkenalkan, internet hanya dimanfaatkan sebagai kaedah untuk mencari maklumat dan surat-menyurat (e-mel) , tetapi ia kini telah menjadi medium bagi pelbagai transaksi ekonomi.

Titah baginda hampir semua keperluan harian kini dapat dipenuhi melalui telefon bimbit pintar, sementara perniagaan serta pemasaran barang dan perkhidmatan pula dilakukan melalui laman-laman e-Dagang.

"Iklan secara digital berkembang rancak serta semakin mengancam promosi berbentuk cetakan dan berciri fizikal. Internet semakin menjadi pasar raksasa pemangkin ekonomi sejagat," titah baginda pada Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-9 di sini hari ini.

Pada hari ini, 492 graduan menerima diploma masing-masing daripada Sultan Nazrin yang merupakan Canselor USAS.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa lawatan kerja ke China awal bulan ini mengumumkan pelantikan pengasas Alibaba, Jack Ma sebagai penasihat ekonomi digital kepada kerajaan Malaysia bagi menerajui pembangunan e-Dagang negara.

Najib berkata antara projek yang akan dilaksanakan bersama Jack Ma ialah Zon Perdagangan Bebas Digital seperti diumumkan dalam Bajet 2017 yang akan dilancar bersama Jack Ma pada Mac tahun depan. -- Bernama

http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1303793