Header Ads

Guna bahasa isyarat ambil pesanan


Jika ada pelanggan yang tidak tahu berbahasa isyarat, mereka akan menanda minuman yang diingini pada kertas menu sebelum saya menyediakannya


Kecacatan yang ada pada diri tidak pernah menjadi penghalang kepada anak muda seperti Muhammad Aizad, Mazzuliza Mohamad Ariffin dan Yap Yee Lin untuk membina kerjaya, sekali gus diiktiraf sebagai barista bertauliah oleh Starbucks Malaysia.

TANPA sepatah perkataan terpacul dari mulut Mazzuliza Mohamad, 29, hanya tangannya ligat menyiapkan minuman caramel macchiato yang dipesan oleh seorang pelanggan wanita berketurunan Cina seminit sebelum itu.

Selepas mencampurkan kopi espresso dengan susu, sirap vanila dan sos karamel, minuman tersebut siap untuk diserahkan kepada wanita tersebut yang telah sedia menunggu di hadapan kaunter.

Seperti kebiasaannya, Mazzuliza mengukir senyuman manis sambil menggunakan bahasa isyarat tangan bagi mengucapkan terima kasih kepada pelanggan tersebut.

“Beginilah rutin harian saya sejak bekerja di kafe Starbucks ini Jun lalu. Walaupun hanya menggunakan bahasa isyarat, saya mampu berkomunikasi dengan pelanggan untuk mengambil pesanan mereka.

“Jika ada pelanggan yang tidak tahu berbahasa isyarat, mereka akan menanda minuman yang diingini pada kertas menu sebelum saya menyediakannya,” katanya menggunakan bahasa isyarat kepada Kosmo! baru-baru ini dengan bantuan terjemahan oleh seorang kakitangan Starbucks Malaysia.

Mazzuliza merupakan salah seorang barista bertauliah daripada golongan orang kelainan upaya (OKU) cacat pendengaran yang ditugaskan membuat minuman kopi berasaskan espreso di kafe Starbucks yang terletak di pusat beli-belah Bangsar Village II, Bangsar, Kuala Lumpur.

Mazzuliza sebenarnya tidak berseorangan, malah dia turut dikelilingi sembilan lagi rakan sekerja cacat pendengaran kecuali pengurus kafe yang merupakan kakitangan normal.

Dia yang berasal dari Pantai Dalam, Kuala Lumpur menjadikan rakan setugasnya, Muhammad Aizad Ariffin, 28, sebagai idola selain meningkatkan motivasi diri untuk terus mencapai kejayaan di dalam kerjayanya itu.

Muhammad Aizad merupakan antara kumpulan pertama dalam kalangan OKU cacat pendengaran yang dilahirkan oleh Starbucks Malaysia sebagai seorang barista bertauliah.

Barista merujuk kepada kerjaya sebagai pambancuh minuman yang berkemahiran dan bertauliah.

Dia memulakan kerjaya di Starbucks sejak tahun 2012 dan pernah bertugas di beberapa cawangan kafe tersebut di sekitar Kuala Lumpur sebelum dipilih menyertai kumpulan pertama OKU cacat pendengaran untuk menjalani latihan khusus bagi memikul tanggungjawab menjalankan sepenuhnya operasi kafe itu di pusat beli-belah berkenaan.

Dengan pengalaman selama empat tahun bersama Starbucks, dia kemudiannya diberi kepercayaan menjalankan tugas sebagai pengurus syif di kafe tersebut selain menjadi pembimbing dan pembantu kepada sembilan rakannya jika berlaku masalah komunikasi dengan pelanggan terutama ketika menerima pesanan.

Sama rata

“Saya sangat sayangkan kerjaya ini. Starbucks telah menjadikan orang seperti saya sangat istimewa.

“Kami bukan sahaja diberi layanan yang sama rata dengan pekerja normal, malah kami turut diberi peluang yang seluas-luasnya untuk mengembangkan kerjaya sebagai seorang barista,” katanya yang memasang cita-cita untuk menjadi OKU pertama dilantik menjadi pengurus kafe Starbucks.

Seorang lagi rakan setugasnya, Yap Yee Lin, 26, percaya program latihan yang dilaksanakan oleh Starbucks mampu melahirkan lebih ramai barista bertauliah pada masa akan datang, sekali gus membuka peluang kepada golongan OKU untuk turut maju di dalam kerjaya tersebut.

Dia turut berharap agar Starbucks membuka lebih banyak cawangan kafe yang akan dikendalikan sepenuhnya oleh OKU sepertinya bagi memberi peluang lebih ramai golongan cacat pendengaran membina kerjaya yang lebih baik.

Latihan






Muhammad Aizad (kanan) bersama Mazzuliza (tiga dari kanan), Yee Lin (tengah) dan rakan setugas yang diberi kepercayaan mengendalikan kafe Starbucks di pusat beli-belah Bangsar Village II.

Sementara itu, Pengurus Kanan Perhubungan Awam dan Strategi Digital, Starbucks Malaysia dan Brunei, Salleharon Ahmad berkata, projek bagi mewujudkan kafe pertama yang dikenalikan sepenuhnya oleh OKU cacat pendengaran timbul selepas pihak syarikat ingin mewujudkan kelainan di dalam pengoperasian kafe.

Bermula daripada situ katanya, pihaknya telah menjalin kerjasama dengan Persatuan Penterjemah Untuk Cacat Pendengaran (SID) bagi melatih golongan tersebut untuk bekerja di rangkaian kafe Starbucks.

“SID memang memainkan peranan yang besar sejak peringkat awal projek ini, termasuklah melatih kira-kira 15 kakitangan Starbucks yang merupakan orang normal untuk mempelajari bahasa isyarat Malaysia (MSL) menggunakan tangan.

“Kami mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk menguasai bahasa isyarat sebelum memulakan projek melatih kakitangan baharu yang terdiri daripada OKU cacat pendengaran berhubung operasi kafe Starbucks, termasuk menjadi barista bertauliah,” katanya dengan memberitahu, MSL merupakan bahasa isyarat standard yang digunakan oleh semua kaum di negara ini.

Jelas Salleharon, walaupun mengalami cacat pendengaran, pihak syarikat tidak pernah mengamalkan pilih kasih.

Malah, mereka turut diberi layanan yang sama dengan kakitangan normal selain turut diberi peluang mengembangkan kerjaya di Starbucks termasuk menikmati skim gaji, elaun dan kenaikan pangkat yang telah ditetapkan oleh syarikat.

Bagaimanapun katanya, kakitangan OKU cacat pendengaran mendapat kelebihan kerana mereka perlu dilayan dengan cara berbeza berbanding kakitangan normal, lebih-lebih apabila golongan itu lebih kerap bertanya sekiranya ingin mengetahui tentang sesuatu perkara.

Mengenai sambutan yang diterima pula, jelas beliau, walaupun kafe tersebut dikendalikan oleh kakitangan OKU cacat pendengaran, namun maklum balas yang diterima daripada pelanggan sangat baik.

Malah katanya, ada pelancong asing yang berkunjung ke kafe berkenaan semata-masa ingin merasai pengalaman berurusan dengan barista OKU memandangkan kafe tersebut adalah satu-satunya yang ada di dunia.

Kelas

Perkara itu turut diakui Pakar Latihan Peruncitan Starbucks Malaysia, Celeste Olivia Sibert, 35, dengan memberitahu, corak komunikasi dengan OKU cacat pendengaran agak unik kerana bahasa yang digunakan oleh mereka tidak seperti manusia normal.

“Sekiranya bahasa isyarat yang digunakan oleh mereka diterjemah ke ayat biasa, ia akan menjadi satu ayat dengan tatabahasa yang sangat ringkas, tidak seperti ayat yang biasa kita gunakan.

“Oleh itu, sekiranya pihak pengurusan di Starbucsk tidak boleh memahami apa yang ingin disampaikan, maka operasi kafe akan menjadi lebih sukar kerana mereka juga tidak dapat memahami prosedur semasa bekerja,” katanya.

Jelas Celeste Olivia lagi, golongan OKU cacat pendengaran juga perlu menghadiri kelas dan latihan asas dua kali ganda lebih lama berbanding kakitangan baharu yang normal disebabkan kekangan komunikasi dua hala.

Namun katanya, kandungan dan maklumat yang diajar kepada mereka masih sama seperti kelas-kelas yang dihadiri kakitangan lain walaupun ada sesetengahnya menggunakan bahan rujukan yang berbeza.

“Mengajar golongan cacat pendengaran memang sesuatu yang unik. Walaupun saya merupakan tenaga pengajar, tetapi ketika mengendalikan kelas kepada mereka, saya yang perlu banyak belajar daripada mereka terutama berkaitan bahasa isyarat tangan bagi merujuk kepada sesuatu perkara yang ada di dalam kafe Starbucks, seperti jenis-jenis minuman dan makanan.

“Saya banyak dibantu oleh kakitangan SID dan kakitangan cacat pendengaran yang telah lama bekerja di Starbucks seperti Muhammad Aizad,” akuinya.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1019&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz4NVoHrceq
Hakcipta terpelihara