Video terkini

1MediaTV

NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ucapan penggulungan MB Terengganu, berkenaan sekatan royalti minyak




DENGAN 
perasaan yang berat sebenarnya, saya mesti merungkai dan menjelaskan persoalan yang dikemukakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat, yang juga ditanya dalam kalangan rakyat Negeri Terengganu setiap waktu ketika kita bertemu dengan mereka sepanjang tempoh bulan Syawal ini– walaupun mungkin ulasan ini akan mengguris teman-teman di Putrajaya, tetapi inilah kalam pahitnya ubat, inilah hakikatnya. Saya akan cuba menjelaskannya, seperti kata orang dulu-dulu ‘bagai menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak’.

Penjelasan saya ini, sekali-kali tidak ingin menafikan rasa terima kasih kepada teman-teman di Putrajaya, yang pagi ini sekali lagi saya ucapkan terima kasih, kerana ada makluman terimaan baharu pada hari ini insya-Allah, di mana ada teman-teman kita di Putrajaya yang masih komited berusaha untuk menyalurkan dana wang royalti sebagai sepatutnya, walaupun dengan cara atau kaedah yang di luar dari tatacara dan pengurusan kewangan yang biasa diamalkan sejak puluhan tahun.

Walaupun tatacara kewangan ini pelik dan menyusahkan (di mana contohnya, pembayaran berpilih (selective payment) kepada projek pembangunan atau perkhidmatan ini dibayar terus oleh Kerajaan Pusat kepada kontraktor di negeri, walaupun surat setuju terima dan dokumen kontrak adalah antara kerajaan negeri dan kontraktor) tetapi kami akur, kerana itulah pada ketika ini yang boleh menyelesaikan urusan pembayaran-pembayaran yang ada dinyatakan dalam Belanjawan Negeri.

Di masa yang sama ini, kita juga sedar bahawa pelaksanaan kaedah sebegini hanya memberi bebanan kerja baharu kepada pihak Putrajaya dan negeri, sedangkan semua tahu bahawa akaun kewangan negeri akan tetap diaudit secara telus oleh jabatan berkaitan.

Suka saya jelaskan, berdasarkan dari dapatan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) yang menjalankan kajian mereka, melalui kerjasama dengan beberapa organisasi masyarakat sivil dan individu berfikiran sivik, Terengganu telah diisytiharkan sebagai kerajaan yang paling telus membentangkan belanjawan atau pengurusan kewangan berbanding negeri-negeri lain di Malaysia, di mana ketelusan tersebut adalah dinilai menerusi Malaysia Open Budget Index (MyOBI).

Untuk rekod dan makluman dewan mengenai terimaan kerajaan negeri, bagi tahun 2023, Kerajaan Persekutuan membayar sejumlah RM802.2 juta daripada anggaran asal kepada RM1.52 bilion. Daripada RM802.2 juta ini, sebanyak RM651.0 juta untuk emolumen, manakala RM109.0 juta untuk deffered and scheduled payment dan RM42.1 juta pula bayaran balik hutang kerajaan Persekutuan, dengan baki yang belum diberikan berjumlah sekurang-kurangnya untuk tahun 2023 sebanyak RM700 juta.

Begitu juga pada tahun ini 2024, Kerajaan Persekutuan membayar sebanyak RM301.7 juta berbanding anggaran RM762 juta untuk pemberian pertama, iaitu masih kekurangan RM461 juta sehingga pemberian kedua pada bulan September.

Jumlah yang diterima ini adalah sebanyak RM172.3 juta untuk emolumen, RM103.1 juta untuk deffered and scheduled payment dan RM26.3 juta untuk Bayaran Insentif Awal (BIA) Kajian Sistem Persaraan Perkhidmatan Awam.

Keadaan ini sudah pasti telah menimbulkan gangguan kewangan kepada kerajaan negeri secara mengejut.

Mengejut kerana hasil petroleum ini adalah hak negeri yang diterima sejak sekian lama, dan perancangan negeri telah dibuat di atas asas ini. Persoalannya yang kita tidak dapat jawab hingga ke hari ini ialah, kenapakah apabila berbeza sahaja fahaman politik, maka terus ada keadaan sebegini?

Inilah juga yang saya sebut di Dewan Rakyat pada 5 Mac 2024, yang saya nak ulang pada hari ini  bahawa sudah tiba masanya, kita meninggalkan budaya politik diskriminasi akibat warna parti politik dan pilihan yang dibuat oleh rakyat dalam sesuatu proses demokrasi pilihan raya dan ini adalah satu rupa bentuk tajdid (reform) yang semestinya berlaku dalam negeri dan negara kita, jika kita bercakap ingin menjadi sebuah negara yang diyakini dan dihormati di peringkat antarabangsa.

Saya juga menyebut, bahawa budaya diskriminasi terpilih (selected discrimination) seperti ini, adalah budaya lama kolot politik balas dendam, yang membawa negara kita ke belakang, dan jauh dari keharmonian.

Yang menjadi mangsa akhirnya adalah rakyat yang tidak berdosa. Akibatnya akan berlakulah sifat dendam mendendam, dan melahirkan reaksi tindak balas yang hanya boleh memuaskan hati tetapi tidak ada menguntungkan sesiapa.

Suka saya jelaskan, bahawa kita di negeri sekali-kali tidak ada sedikitpun perasaan untuk mempersalahkan sesiapa, apatah lagi ingin berseteru dengan sesiapa.

Manusia yang waras akan tahu bahawa tiada faedah dan tiada manfaatnya, untuk sesebuah kerajaan negeri bersifat keras atau bergaduh dengan Kerajaan Pusat, dan sama juga tidak ada faedahnya untuk sesebuah Kerajaan Pusat pun untuk bergaduh dengan mana-mana kerajaan negeri. Dua-dua tak ada faedah kerana Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri mempunyai objektif yang sama, iaitu membangunkan negeri dan negara.

Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) Negara juga disumbangkan oleh semua negeri-negeri.

Salah sangka dan curi-mencuriga antara sesebuah Kerajaan Pusat dan negeri, adalah satu keadaan no win situation di mana hakikatnya hati mungkin puas, tetapi kedua-dua kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat juga akhirnya yang akan rugi. – HARAKAHDAILY 25/4/2024

Tulisan di atas ialah petikan ucapan penggulungan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas 2024 pada 25 April 2024.





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Terengganu tolak Akta Laut Wilayah 2012, dakwa ia nafi & rampas hak kedaulatan negeri



  • Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15 pada Khamis sebulat suara meluluskan usul menolak Akta Laut Wilayah 2012 kerana dilihat tidak menepati syarat seperti ditetapkan di dalam Perkara 2 (b) dan Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan.
  • Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata Kerajaan Negeri menolak penguatkuasaan akta itu yang menafikan hak negeri untuk menerokai sumber dan hasil melalui sempadan maritim negeri sekadar tiga batu nautika (5.5 kilometer) sahaja dari garis air surut wilayah Terengganu.
  • Katanya, Perkara 2 (b) menyatakan bahawa undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan negeri itu (yang dinyatakan melalui undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri itu) dan Majlis Raja-Raja.
  • “Sementara Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.
  • “Justeru, tindakan Kerajaan Persekutuan menyatakan negeri hanya berhak terhadap tiga batu nautika sebenarnya merampas hak kedaulatan negeri terutamanya yang berkait hasil mahsulnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15 pada Khamis sebulat suara meluluskan usul menolak Akta Laut Wilayah 2012 kerana dilihat tidak menepati syarat seperti ditetapkan di dalam Perkara 2 (b) dan Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata Kerajaan Negeri menolak penguatkuasaan akta itu yang menafikan hak negeri untuk menerokai sumber dan hasil melalui sempadan maritim negeri sekadar tiga batu nautika (5.5 kilometer) sahaja dari garis air surut wilayah Terengganu.

Katanya, Perkara 2 (b) menyatakan bahawa undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan negeri itu (yang dinyatakan melalui undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri itu) dan Majlis Raja-Raja.

“Sementara Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

“Justeru, tindakan Kerajaan Persekutuan menyatakan negeri hanya berhak terhadap tiga batu nautika sebenarnya merampas hak kedaulatan negeri terutamanya yang berkait hasil mahsulnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata Kerajaan Negeri merumuskan penggubalan akta itu bukan sahaja tidak mengikut Perlembagaan, malah memberikan beberapa implikasi negatif seperti menafikan hak negeri untuk meneroka sumber dan menikmati hasil di dalam kawasan wilayah negeri tersebut.

Bahkan ia juga menyebabkan berlaku percanggahan dan konflik dengan akta-akta lain.

“Kerajaan Negeri juga melihat, Kerajaan Persekutuan pada hari ini telah memperalatkan Akta Laut Wilayah 2012 untuk menafikan pembayaran royalti petroleum kepada Kerajaan Negeri Terengganu.

“Justeru, sekali lagi ditegaskan bahawa Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Terengganu menolak Akta Laut Wilayah 2012,” katanya.

Pada 24 Februari tahun lalu media melaporkan Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak lima peratus kerana kedudukan medan pengeluaran adalah terletak di luar tiga batu nautika dari garis air surut wilayah kedua-dua negeri di Pantai Timur itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) menetapkan setiap negeri mempunyai hak ke atas laut wilayah di pesisir yang berdampingan dengan pantai wilayahnya yang tidak melebihi tiga batu nautika dari garis air surut. – The Merdeka Times

Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Akta Laut Wilayah seolah-olah ada niat tersirat




KUALA TERENGGANU: 
Kerajaan negeri mahupun Persekutuan sewajarnya menghormati prinsip federalisme dengan menghormati hak-hak dan tanggungjawab bersama.

Ini, ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili agar tidak berlaku penyalahgunaan kuasa yang ketara dan merampas hak pihak yang lain.

“Kita telah diwariskan dengan Perlembagaan Persekutuan yang terdapat kelemahan padanya kerana ia adalah ciptaan manusia tetapi ia telah memperincikan hak-hak dan tanggungjawab seperti yang diterima pakai hari ini. Tetapi, jangan hendaknya tanggungjawab dan hak itu dilanggar kerana ia akan mengakibatkan masalah yang sukar diselesaikan.

“Yang Berhormat Menteri ketika menggulung pembentangan Rang Undang-undang Akta 750 atau Akta Laut Wilayah 2012 telah memperihalkan hasrat dan tujuan yang cuba ditonjolkan oleh kerajaan Persekutuan adalah baik.

“Tetapi, saya melihat seolah-olah ada niat yang tersirat di sebalik itu bagi menghakis hak negeri-negeri terhadap hasil tanih yang terdapat pada pelantar benua,” ujarnya semasa membahaskan usul menolak Akta Laut Wilayah 2012 pada persidangan DUN di Wisma Darul Iman, hari ini.

Kata beliau, hakikatnya mereka berniat tidak jujur ketika Terengganu telah dipimpin oleh PAS setelah dipilih rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10 pada tahun 1999.

Tambahnya, ia jelas dapat dilihat apabila dalam mesyuarat agung Umno negeri suatu usul telah dibuat bagi mendesak kerajaan pusat untuk menafikan bayaran royalti kepada kerajaan negeri yang telah kesekian tahun dibayar terus oleh Petronas kepada negeri.

“Pada 5 September 2000 pembayaran royalti daripada Petronas kepada Negeri Terengganu ini telah diganti kepada pemberian wang ihsan oleh kerajaan pusat.

“Untuk rekod Terengganu mula mendapat bayaran royalti terus daripada Petronas pada tahun 1978 sebanyak RM13 juta sehingga 1999 dengan bayaran RM436 juta.

“Apabila kerajaan pusat menghentikan pembayaran royalti dan menubuhkan JPP untuk membelanjakan wang tunai kepunyaan negeri Terengganu, maka ia dilihat sebagai tidak mengiktiraf pilihan rakyat Terengganu sebagai sebuah daripada 13 buah negeri dalam Perseketuan Malaysia,” katanya.

Pada kacamata ahli politik, kata Saiful, tindakan itu dibuat semata-mata atas alasan politik, di mana untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa kerajaan negeri pada masa itu gagal melaksanakan pembangunan negeri melainkan kerajaan pusat.

Manakala, katanya, bagi penganalisis undang-undang pula, mereka berpendapat tindakan kerajaan pusat adalah berlawanan dengan Perkara 80 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa pemerintah kerajaan pusat tidak boleh melampaui apa-apa perkara yang berada dalam bidang kuasa negeri.

“Dalam satu ungkapan yang biasa kita dengar ‘perkataan yang benar, tetapi dikehendaki daripadanya kebatilan’,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/4/2024







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Langkah DAP kekal calon Cina berisiko, tapi masih boleh menang

Penganalisis politik berpendapat faktor Nga Kor Ming tidak akan menjejaskan peluang pegawainya Pang Sock Tao pada PRK Kuala Kubu Baharu. (Gambar Bernama)


PETALING JAYA: Penganalisis berpendapat DAP mengambil risiko dengan mengekalkan calon Cina pada PRK Kuala Kubu Baharu, walaupun sebelum ini diuar-uarkan mahu menampilkan pemimpin Melayu berikutan majoriti pengundi dari kaum itu.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata langkah meletakkan Pang Sock Tao itu mungkin sebagai strategi DAP kerana mahu mengekalkan penyokong terasnya iaitu pengundi bukan Melayu yang telah memilih Lee Kee Hiong pada PRN Ogos tahun lalu.

“Saya kira DAP percaya bahawa undi Cina masih utuh bersama PH dengan jumlah pengundi sekitar 30%, mereka yakin boleh mendapat sebahagian besarnya.

“Namun ia dianggap tindakan berisiko tinggi memandangkan 46% pengundi adalah Melayu diikuti Cina sekitar 30% dan 18% India, kalau menang satu pencapaian kepada kerajaan perpaduan,” katanya kepada FMT.

Menurut Awang Azman, Perikatan Nasional (PN) mungkin boleh memberi saingan jika meletakkan calon Melayu yang popular di kalangan penduduk tempatan, dengan sekurang-kurangnya merebut undi kaum itu.

“Namun jika calon Melayu kurang dikenali baru muncul ketika PRK, peluang PN sukar lebih-lebih lagi Selangor dan pusat dikuasai kerajaan perpaduan,” katanya.

Semalam, Pang yang juga setiausaha akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming diumum sebagai calon PH pada PRK Kuala Kubu Baharu 11 Mei depan manakala lawannya dari PN akan diketahui malam ini.

Sementara itu, Zaharul Abdullah dari Universiti Sains Malaysia pula berpandangan Nga bukan punca utama jika pengundi Melayu terus menolak DAP pada PRK berkenaan.

“Momentum pengundian majoriti pengundi Melayu sejak PRU15 dan PRN kekal cenderung menolak PH, ini meningkat disebabkan sentimen Melayu-Islam yang didakwa disumbangkan pemimpin DAP termasuk Nga.

“Justeru saya lihat ia bukan faktor Nga semata-mata tetapi penolakan pengundi Melayu kepada DAP secara menyeluruh dan kekecewaan pengundi Melayu terhadap gabungan PH-BN,” katanya yang bagaimanapun berpendapat kebergantungan PN pada undi Melayu sahaja tidak cukup untuk menang.

Beliau mengulas sama ada pemilihan Pang sebagai calon PH akan terjejas susulan statusnya sebagai pegawai Nga yang didakwa telah membangkitkan beberapa isu kontroversi membabitkan orang Melayu seperti pengiktirafan Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan.

Wan Hashim Wan Teh dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia pula berpandangan selain faktor calon dan parti pengundi juga akan membuat penilaian berdasarkan isu politik semasa dan keadaan ekonomi negara.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan berlaku peralihan sokongan daripada pengundi BN kepada PN sebagai tanda protes terhadap hubungan dengan DAP.


Sumber | FMT Malaysia 








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

‘Rajuk MCA’ tidak beri kesan wakil DAP, PH

Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil, berkata keputusan MCA enggan turun padang tidak jejas peluang DAP mewakili PH menang PRK Kuala Kubu Baharu.


PUTRAJAYA: Keputusan MCA tidak ‘turun padang’ tidak menjejaskan kempen jentera PRK Kuala Kubu Baharu kerajaan perpaduan, kata jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga menteri komunikasi, berkata Barisan Nasional (BN) sebaliknya komited untuk membantu gerak kerja bagi memenangkan calon Pakatan Harapan (PH) dari DAP menjelang PRK itu.

“(MCA boikot) tidak mengganggu (kempen PRK) asasnya adalah hubungan antara BN dan PH, BN akan membantu.

“Di akar umbi kita fokus kepada calon, berwibawa, muda, wanita berdedikasi dan berkeluarga, banyak pengalaman bekerja di beberapa kementerian.

“Pengalaman itu akan dapat bantu usaha bangunkan Kuala Kubu Bharu, ini fokus seluruh jentera dan kita bersatu padu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Semarak Muhibbah Madani.

Pang Sock Tao, setiausaha akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming diumumkan calon mewakili PH, malam tadi.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan selepas penyandang tiga penggal, Lee Kee Hiong, dari PH meninggal dunia pada 21 Mac disebabkan barah.

Sebelum ini, Presiden MCA Wee Ka Siong, mengumumkan parti itu tidak akan turun membantu jentera kempen kerajaan perpaduan kerana bukan calon BN bertanding.

MCA juga mengambil pendirian sama pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram atas alasan serupa, tahun lalu.


Sumber | FMT Malaysia 








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Hukum anak jika terbukti salah, MB Perlis tiada prasangka terhadap SPRM


Menteri Besar Perlis Shukri Ramli, berkata Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM juga kini sedang giat melakukan pemeriksaan di setiap Pusat Khidmat DUN di itu pada waktu ini. (Gambar Bernama)


PETALING JAYA: Menteri Besar Perlis Shukri Ramli tiada prasangka terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika anaknya terbukti bersalah berkait siasatan dakwaan tuntutan palsu RM600,000.

Katanya, apa berlaku kepada dirinya dianggap “ujian” selain mengakui kelemahannya kerana “terlalu baik”, serta meletakkan “kepercayaan kepada semua orang”.

Berucap pada sidang Dewan Undangan Negeri di Kangar, Shukri berkata, “maka hukumlah dia kerana saya sudah beri pendidikan dan ilmu termasuk juga pegawai saya di mana saya selalu berpesan mengenai perkara ini dan jika terbabit juga, saya sudah habis ikhtiar”.

“Namun, apa pun saya tidak ada rasa gundah gulana dan saya juga tidak ada sebarang prasangka terhadap SPRM sehingga habis siasatan mereka,” katanya menurut Berita Harian.

“Memang, kelemahan saya dalam pentadbiran terlalu baik dan percaya semua orang saya beri kebebasan tetapi harus diingat tidak siapa kebal undang-undang termasuklah saya.”

Beliau berkata, pejabatnya sentiasa terbuka kepada SPRM.

“Sekali lagi saya tegaskan bahawa saya terbuka di mana dalam ucapan sidang DUN sebelum ini juga, saya ada katakan bahawa pejabat saya buka ’25 jam’ (setiap masa) sehari untuk pemeriksaan SPRM kerana saya tidak mahu berlaku sebarang penyelewengan dan biarlah ia dalam keadaan bersih dari unsur tidak baik,” katanya.

Shukri turut menjelaskan, Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM kini sedang giat melakukan pemeriksaan di setiap Pusat Khidmat DUN di negeri Perlis pada waktu ini.

“Saya difahamkan mereka (SPRM) sudah ke Kuala Perlis dan berkemungkinan akan ke tempat lain pula selepas ini, tak tahulah,” katanya.

Hari ini, SPRM menyambung tempoh reman selama sehari lagi sehingga esok terhadap anak menteri besar Perlis dan empat lagi suspek yang ditahan berhubung siasatan pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan palsu RM600,000.

Siasatan melibatkan pelaksanaan projek pembangunan prasarana seperti baik pulih, menyelenggara, perbekalan, dan perkhidmatan di seluruh Perlis, sejak 2022.


Sumber | FMT Malaysia 







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Permainan belum tamat, MB Terengganu tekad tuntut royalti minyak

Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini berkata kerajaan negeri belum menerima royalti RM1 bilion untuk 2023 daripada Putrajaya.


PETALING JAYA: Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pentadbirannya bertekad meneruskan tuntutan royalti minyaknya dari Putrajaya, beberapa jam selepas DUN menolak penguatkuasaan Akta Laut Wilayah 2012.

Samsuri berkata, “permainan belum tamat”, sambil menambah kerajaan Terengganu akan meneroka semua pelbagai cara termasuk berunding dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ketika ditanya sama ada beliau berhasrat bertemu Anwar pada Rumah Terbuka Hari Raya Madani di Kuala Terengganu, pada 9 Mei, Samsuri berkata: “Insyaallah.”

“Kita optimis, kita akan cuba pelbagai cara termasuklah bahawa kedatangan PMX untuk raya Madani kita akan manfaatkan sepenuhnya.

“Kita akan tangani satu persatu, ‘the game is not over yet’ (permainan belum lagi berakhir),” katanya pada sidang media selepas menerima memorandum Sekretariat Gerakan Menuntut Royalti Terengganu.

Awal hari ini, Samsuri dalam kenyataan berkata DUN Terengganu sebulat suara meluluskan penolakan Akta Laut Wilayah 2012, atas alasan menafikan hak negeri menerokai sumber dan hasil melalui sempadan maritim negeri sekadar tiga batu nautika (5.5km).

Katanya, kerajaan negeri menolak undang-undang itu kerana dilihat tidak menepati syarat seperti mana ditetapkan dalam Perkara 2 (b) dan Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, Perkara 2 (b) menyatakan bahawa undang-undang mengubah sempadan sesuatu negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan negeri itu dan Majlis Raja-Raja.

Pada Februari, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, memberitahu Dewan Rakyat bahawa Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima bayaran hasil petroleum 5% kerana undang-undang berkaitan menetapkan negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika.

Pada bulan berikutnya, Samsuri menggesa Anwar menjelaskan tunggakan bayaran royalti minyak kepada Terengganu pada 2023.

Sebelum ini, Samsuri memberitahu DUN Terengganu bahawa kerajaan negeri belum menerima kira-kira RM1 bilion royalti minyak bagi 2023 dari Putrajaya.



Sumber | FMT Malaysia 






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

UM tak perlu mohon maaf jemput Gilley, kata Tajuddin

Tajuddin Rasdi berkata pembatalan forum hari ini libat Bruce Gilley bertentangan dengan kerapian akademik yang mempromosi dialog terbuka dan pertukaran idea.


PETALING JAYA: Universiti Malaya (UM) tidak perlu memohon maaf atas keputusan menjemput profesor Amerika Syarikat (AS) walaupun kenyataan dikeluarkannya membangkitkan pertikaian, kata ahli akademik.

Tajuddin Rasdi, profesor di Universiti UCSI, berkata menjadi “amalan biasa” dalam akademia menjemput tokoh kontroversial untuk wacana.

“Tiada sekatan sepatutnya diletakkan dalam amalan itu kerana menjejaskan kebebasan akademik,” katanya.

Tajuddin berkata, ada ketikanya universiti awam tempatan menganjurkan acara “sensitif”.

Katanya, universiti awam sebelum ini mengadakan pelbagai seminar dan persidangan yang dilihat pro-Melayu, anti-Kristian, dan anti-LGBT, dan mencetuskan kemarahan minoriti dan rakyat Malaysia yang kebanyakan sederhana.

Pada Selasa, Bruce Gilley, profesor sains politik di Portland State University, ketika menyampaikan ucaptama di UM mendakwa Malaysia mahukan “holocaust kedua terhadap orang Yahudi”.

Dalam ceramahnya berjudul “Will Malaysia Become an Active Middle Power”, Gilley juga memperkecilkan hubungan Malaysia dengan AS.

Beliau kemudian memuat naik hantaran sama dalam aplikasi X, namun menurunkannya dan menyuarakan kekesalan terhadap “kemudaratan ditimbulkan kepada rakan akademik saya”.

Dalam kenyataan, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir mengarahkan semua program dan aktiviti membabitkan ahli akademik tersebut dibatalkan serta merta.

Sebelum ini, Gilley dijadualkan memberi tiga ceramah di UM sebagai profesor pelawat.

Beliau kemudian mendakwa telah meninggalkan Malaysia atas kebimbangan keselamatan.

Bagaimanapun, Tajuddin berkata Gilley berhak mengeluarkan pandangannya.

“Jelas, beliau ingin bercakap sesuatu di mana rakyat biasa anggap kontroversi.

“Beliau sepatutnya diberikan peluang membahaskan perkara itu dengan profesor tempatan, seperti dijadual pada hari ini kerana ia sebahagian daripada kerapian akademik.

“Kerapian akademik bermakna melakukan sesuatu secara teliti dan menyeluruh dalam tetapan akademik, seperti sekolah dan universiti,” katanya.

Tajuddin berkata, pembatalan forum hari ini tidak wajar memandangkan kerapian akademik memerlukan dialog terbuka dan penukaran idea.



Sumber | FMT Malaysia 










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

© all rights reserved
made with by templateszoo